selamat beramal..



SELAMAT BERAMAL


Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah, kemudian tidurlah.



"Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya), kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga, kita bimbang (kalau) malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita." (alangkah ruginya kita) sekadar perkongsian..renung2kan..dan selamat beramal

adakah kite perempuan yg SUCI..??



adakah kite perempuan yg SUCI..??


Perempuan yang suci adalah perempuan yang di jaga oleh ALLAH,tidak sedikit pun Allah membenarkan mana- mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya...

Tetapi andai kita bergelumang dengan cinta lelaki, di mana Allah untuk menjaga kita? Allah seperti melepaskan kita kepada seorang manusia yang lebih banyak mengecewakan kita



"Jika ALLAH datangkan kesedaran dalam diri supaya meninggalkan cinta seorang lelaki ,bermakna Allah mahu ambil kita kembali untuk dijagaNya..


Mengapa masih ragu- ragu? "

"Kekuatan usah di tunggu tapi harus dicari"

Hargailah di atas kesempatan yang Allah berikan... "Sebesar- besar dosa adalah dosa yang di lakukan ketika rasa berdosa melakukannya" - Imam Ghazali-


Wednesday, December 15, 2010

How I know you're Muslim..??

Beberapa minggu lepas, ambo berbasikal ke Dublin City, saje boring duk rumah, sambil2 nak usha2 cenderahati yang nak di bawa balik Malaysia (walaupun lambat lagi ambo nak balik). Lepas satu shopping complex, ambo merayau lagi ke shopping complex lain nak cari apa2 yang sesuai dan murah (terutamanya) untuk di beli. Sampailah ke shopping complex terakhir, namanya Guiney's (rasanya kalu student2 kat Dublin ni mesti gelak sebab ambo mention shopping complex, sebab rasanya tak layak di gelar begitu, tapi tak pe, istilah je).


Tengah duk usha2 baju-bajan(ada ke??) kat bahagian lelaki, tiba2 ambo di sapa seorang lelaki omputih, Irish. Lelaki dalam lingkungan setengah abad tu menyapa ambo, ''You're Muslim??''.

Ambo menjawab, ''Yes I am''. Tiba2 je dia datang dan peluk ambo. Sambil2 peluk tu dia kata ''Brother.. Brother... Brother..'' Ambo dah naik pelik. Apahal pulak orang tua ni. Dengan hati yang agak cuak2 kuku (macam suam2 kuku la) ambo tanya dia balik
''Are you Muslim??'' Yelah kan, selama ambo duk sini, dan bergaul dengan orang2 islam dari negara2 lain, hanya orang Islam je yang peluk2 dan kata macam tu. Nak tau apa dia jawab??


Dia jawab '' No, I'm Christian Catholic''. Terkejut king kong ambo. Lagi la cuak ambo. Ke'cuak'an yang tadinya hanya cuak2 kuku bertukar menjadi cuak2 kuku kaki (jangan pakai istilah ni untuk wat karangan SPM atau resume interview).

Ambo pun tanya la.. '' Then why you say brother3.. to me??''.

Dia kata, dia pernah jumpa imam kat Medina Mosque (salah satu masjid dekat city centre, masjid ni terletak di Talbot Street), dan imam tu buat macam tu kat dia, jadi dia pun buat la macam tu jugak kat ambo.. Ooo ingatkan kenapa.. lega rasanya..


Jadi kami pun berbuallah sikit sebanyak pasal agama. Dia tanya ambo macam2 pasal islam. Kenapa orang islam tak leh makan babi, pasal sembahyang dan macam2 lagi. Dia jugak tanya pasal asal usul ambo dan budaya ambo sebagai orang melayu. Apa yang ambo makan, masuk rumah kena bukak kasut dan sebagainya. Dia ambik alamat rumah dan nombor telefon ambo, katanya nak datang ziarah rumah, nak tengok apa yang orang2 islam buat dalam kehidupan seharian.. Ambo ajak dia datang ke Dublin Mosque, boleh jumpa imam kat sana, dia bagi azam nak datang, tapi dia kata, ''We will go there together, and you pray in your own way and I'll pray in my way ok??'' . Ambo senyum je dengar dia kata macam tu.


Tapi, apa yang nak diceritakan di sini ialah, masa tengah2 sembang ngan dia, dia tanya ambo, ''Do you know how I know you're Muslim??''.. Ambo jawab,''Maybe because of this'', sambil tangan ambo tunjuk kat kopiah raihan yang ambo pakai walau ke mana ambo pergi.

Dia kata, '' Maybe not, but I know you're muslim because of that, your beard''.


Kata dia sambil tunjuk kat janggut ambo yang cuma dua tiga urat ni (hahaha).
''And I know you're good man'', sambung dia lagi.

MasyaAllah, rupa2nya janggut (sunnah Rasulullah s.a.w) walaupun nampak simple,
tetapi ianya satu perlambangan ciri2 seorang Muslim, walaupun sikit (nak wat macamana, dah natural, hehehe).

Teringat karkuzari yang ambo dengar selepas kejadian tsunami kat Indonesia dulu. Ambo dengar, masa tu untuk membezakan mayat tu Islam ke bukan Islam, pihak yang uruskan pengebumian mayat judge berdasarkan janggut. Yang ada janggut, di kategorikan sebagai Islam, dan yang tak de, bukan Islam.


Subhanallah, pengalaman macam ni menyedarkan ambo betapa besarnya satu2 sunnah Nabi. Setiap sunnah tu ada nur. Dan sunnah juga menjadi ''identity card'' yang membezakan muslim dengan non-muslim dari segi penampilan luaran, apatah lagi jika kita bermukim di negara kuffar.

InsyaAllah, kita semua azam untuk amal sunnah dalam kehidupan seharian kita. Simpan janggut tu sunnah paling mudah untuk diamalkan, dan satu2nya sunnah yang boleh kita bawa sampai dalam kubur. Oleh itu, yang asyik cukur janggut, kita azam simpan, semata2 nak ikut sunnah, bukannye sebab nampak ensem kalu ada janggut... Semoga Allah beri taufiq pada kita semua untuk praktik sunnah... Wallahua'llam...

Saturday, December 4, 2010

MASAM itu MANIS

Cabaran dan dugaan adalah fitrah kehidupan. Adakalanya ombak taufan datang menggoncang hati menghasilkan kegelisahan yang melenyapkan sebuah ketenangan. Hati kita resah, gelisah dengan masalah yang melanda.Lalu kita menjalani siri-siri kehidupan dengan tekanan sehingga mengukir riak muka masam. Biarpun matahari pagi masih bersinar terang, namun oleh kerana masalah yang membelenggu diri – terbina tembok pemisah antara kita dan ketenangan.


Inilah fitrah kehidupan.


Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. "Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?" Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.


Firman Allah SWT,
Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku" (Al-Fajr, 16)


Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.


Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?


Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa 'kita adalah siapa kita'. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku "The 7 habits of Highly Effective People" oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.
Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia. Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, "Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia".


Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!

Allah telah mengajar kita dalam Quran,
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri" (Ar-ra'd, 11)


Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah.

Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan.

Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. Hidup ini indah. Masam itu manis.

hati yang sedang parah

Hidup adalah putaran roda. Melewati hari-hari yang dilalui adakalanya menyebabkan kita begitu ghairah menunggang bersama putaran roda kehidupan,sehingga kadang-kadang, kita terlalu sibuk menguruskan hal-hal semasa tanpa sedar ke sana ke mari sedang membawa sekeping hati yang sedang parah kesakitan.
Inilah resmi hidup manusia.


Adakala hati terasa begitu mudah untuk menerima dan melaksanakan kebaikan, dan dalam satu masa lain pula, hati terasa berat untuk mengunjugi kelas-kelas ilmu. Terasa bosan dengan nasihat dan mau’izhah hasanah..terasa lesu dari melakukan kebajikan dan dakwah, malah hati makin rindu dan puas dengan layanan nafsu yang buas.


Bagaimana hati menjadi parah sebegini?
Bicara tentang seketul darah bernama HATI. Peranannya kita semua sedari; andai baik dan solehnya hati maka amal dan akhlak serta keseluruhannya akan tampak manis dan berseri. Sebaliknya pula jikalau hati sedang membengkak nan pedih, seluruh pekerti akan rosak dek tempias yang terpalit secara zahir. Kerana ini, hati adalah tumpuan utama untuk diseriusi oleh hamba-hamba yang berjanji untuk menempuh jalan menuju Illahi.


Hati mungkin sahaja menjadi sakit dan pedih tanpa kita sedari. Seperti ikan yang terdampar dari jauh dari halaman sendiri, begitulah jua hati yang sakit- ibaratnya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Hati yang sakit tidak lagi terasa perit di kala melakukan maksiat, tidak lagi merasai nikmat dalam beribadah..jauh berbeza dengan hati yang hidup, yang pasti merasa terseksa setiap kali melakukan perkara yang dikutuk.


Adakalanya pemilik hati yang sakit dapat merasai simptom-simptomnya namun untuk berusaha mengubatinya terasa amat pahit untuk dicuba. Sementelah melayani kerenah hati yang sakit jauh lebih enak dan manis ditemani nafsu yang membuak-buak.


Namun, hati-hati wahai sahabat!


Barangkali hati yang sudah terlalu lama kepedihan, lama-lama mungkin akan mati dalam kegelapan… jauh sungguh dari Tuhan, malah barangkali mampu membuatkan pemiliknya tidak lagi mengenali siapakah Rabbnya. Amal ibadah mungkin ditinggalkan, berjalan di dunia bersama hawa dan nafsu, sedang kemurkaan Allah dijanjikan untuk mereka. Nauzubillah min zalik...
Justeru itu, apabila kita di uji dengan penyakit hati, seeloknya kita cepat-cepat mencari terapinya. Jangan terus biarkan diri terleka dan dahaga. Isikanlah dengan nutrisi-nutrisi yang dapat menghidupkannya kembali.


Kata seorang soleh, “amatlah menghairankan manusia itu, mereka menangisi orang yang mati jasadnya sedang tidak menangisi orang yang mati hatinya. Padahal keadaan ini lebih berbahaya”.


Maka, langkah-langkah urgensi perlu diambil, supaya tidak terus melarat dan sengsara.
Langkah paling awal adalah dengan kembali kepada Allah.


Sungguh Al-Quran dan zikir itu adalah sebaik-baik penyembuh dan pelembut hati.
Kata ibn taimiyyah, “Zikir bagi hati ibarat air bagi ikan. Apa jadinya bila ikan dikeluarkan daripada air?”


Zikrullah adalah makanan pokok bagi hati dan ruh. Jikalau lama hati menyepi daripada menyebut nama Allah lama kelamaan syaitan akan lebih mudah untuk melemahkan diri. Akhirnya penyakit hati bersarang dalam diri.


Abu Musa Al-Asy’ariy meriwayatkan, Rasulullah bersabda;
“Perumpamaan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” HR Bukhari


Istighfar yang muncul dari hati yang benar-benar menyesali dosa adalah rawatan hati yang benar-benar mujarab. Memohon maghfirah dan keampunan dari Allah dapat merendahkan hati serta meleburkan air mata yang sekian lama membeku.


Dan tidak cukup dengan itu, sentiasalah berdoa agar dipelihara daripada penyakit hati yang berkali-kali melanda diri.


Sesungguhnya, tiadalah penawar yang lebih baik untuk merawat hati yang parah melainkan kembali mengingati Allah.

Bila mana terasa penat dan lemah, terus-terusanlah mengingati Allah dalam setiap amal dan perbuatan. Semoga dengan hati yang sihat bercahaya diterangi iman, stamina akan bertambah untuk terus beribadah dan beramal.

Sungguh, kekuatan itu lahir dari dalam, dari seketul daging yang akan menjana seluruh tubuhnya; yakni al-Qalb

pagar IKHLAS dlm beramal..

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
article ni ana dpt drpd blog ismamesir..
tetapi..inputnya sgt dlm...
suka untuk ana kongsi dgn semua...
harap..sebelum bace lapangkan dada...dan bacelah dgn hati agar kite blh muhasabah diri kita...
terapkan dlm diri kita....adakah aku org yg IKHLAS dlm amalanku...??



Sesungguhnya tugas untuk menjulang ketuanan Islam dan mengembalikannya kepada kepimpinan, hidup berdasarkan aqidah Islam, syariatnya atau khilafahnya, serta ketamadunannya adalah merupakan ibadat kepada Allah, serta mendekatkan diri kepada Allah. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah pada ibadah sebegini adalah perkara teras untuk diterima amalan kita serta kejayaannya. Niat yang bercampur-baur boleh merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf perjuangan, serta melenyapkan ganjaran. Di antara tanda-tanda ikhlas ialah:

1. Takutnya kemasyhuran dan tersebarnya sum’ah ke atas diri dan agamanya, khususnya orang yang memiliki beberapa bakat serta kebolehan. Beliau berkeyakinan bahawa Allah menerima amalannya secara rahsia bukan secara zahir. Seorang manusia itu, walau masyhur macam mana sekalipun, sekiranya niat bercampur dengan mengharapkan penghargaan manusia, tiada nilai di sisi Allah.

Kemasyhuran itu sendiri sebenarnya tidak tercela. Tiada manusia yang lebih masyhur selain daripada para anbiya’ dan Khulafa Al-Rasyidin. Namun, jika kemasyhuran itu diperolehi tanpa diburu dan bersusah-payah untuk mendapatkannya, maka ia tidak mengapa. Sekalipun, ia ada juga keburukannya sepertimana yang diungkap oleh Imam Al-Ghazali: “Fitnah kemasyhuran adalah ke atas orang yang lemah bukannya ke atas orang yang kuat.”

2. Orang yang ikhlas itu sentiasa mendakwa dirinya cuai di sisi Tuhannya, dan lalai melaksanakan kewajipan. Hatinya tidak terpedaya dengan amalan dan tidak ujub dengan diri sendiri. Bahkan ia sentiasa takut dosa-dosanya tidak diampunkan Allah dan takut kebaikannya tidak diterima Allah.

Setengah para salihin menangis sepuas-puasnya ketika mengalami sakit. Bertanya sesetengah pelawatnya, “Mengapa kamu menangis? Bukankah kamu seorang yang sentiasa bangun malam (qiyamullail) dan berpuasa, kamu orang yang berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir?. Beliau menjawab, “Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku?. Allah telah berfirman (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah:27)


3. Amalan yang dilakukan secara senyap itu lebih ia sukai berbanding amalan yang dihebahkan kepada orang ramai. Ia sangat ingin untuk menjadi tunjang bagi sepohon pokok ketika berada dalam jamaah, sekalipun tunjang itu teras bagi tegak dan hidupnya pokok tersebut, namun ia terhunjam di dalam perut bumi yang tidak dapat dilihat oleh manusia.


Daripada Umar Al-Khattab: Pada suatu hari Saidina Umar keluar ke Masjid Nabawi, lalu ia mendapati Muaz bin Jabal sedang duduk di sisi kubur Nabi dalam keadaan menangis. Saidina Umar bertanya; “Apa yang membuatkan kamu menangis?”. Beliau menjawab: “Apa yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w membuatkan aku menangis. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya riya’ yang sedikit itu adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah sesungguhnya ia telah memerangi Allah secara terang-terangan. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang melakukan kebaikan, bertaqwa, dan tidak dikenali. Apabila ia telah tiada, orang tidak merasai kehilangannya dan apabila ia ada, ia tidak dipanggil dan tidak dikenali. Hati-hati mereka adalah pelita yang memberi petunjuk untuk mereka keluar dari debu-debu yang gelap dan pekat.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


4. Disisinya sama sahaja antara tugas pemimpin dan tugas pengikut, selagimana keduanya berkhidmat dalam dakwah. Hatinya tidak dibelenggu oleh rasa ingin menonjol, ingin cepat berada di saf hadapan, cinta untuk memimpin dan ingin segera berada di puncak kekuasaan. Bahkan beliau lebih utamakan untuk menjadi pengikut biasa kerana takut berlaku kecuaian dalam kewajipan kepimpinan dan memikul tanggungjawabnya.
Dalam apa jua keadaan, ia tidak ghairah untuk itu semua, dan tidak menginginkan untuk dirinya. Namun sekiranya ia dipertanggungjawabkan, ia akan memikulnya dengan memohon pertolongan dari Allah dalam melaksanakan hakNya. Allah meredhai Khalid al-Walid yang dilucutkan jawatan dari memimpin tentera. Khalid bertugas di bawah Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah dan mengkritik, sedangkan Khalid ialah seorang pemimpin yang berjaya.


5. Janganlah kamu menghiraukan redha manusia sedang Allah memurkainya. Sesungguhnya manusia sangat berbeza di segi tabiat, pemikiran, kecenderungan, dan matlamat. Justeru, usaha untuk mendapatkan redha manusia adalah satu impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan dan tuntutan yang tidak mungkin dapat ditunaikan. Orang yang ikhlas tidak akan membebankan dirinya dengan memikirkan ini semua.




6. Kemungkinan cinta dan benci, pemberian dan keengganan, redha dan marah, hanya kerana Allah dan agamanya dan bukan kerana manfaat untuk dirinya. Kita melihat sesetengah petugas di medan dakwah, apabila ditegur oleh sahabatnya dengan perkataan yang menyakiti atau diperlakukan dengan tingkah laku yang melukai perasaannya, atau perasaan salah seorang yang rapat dengannya, ia segera melenting dan marah. Lalu meninggalkan tugas dan harakah, dan terus mengasingkan diri dari medan jihad.


Ikhlas kepada tujuan sebenar akan menjadikannya terus berada dalam kerja dakwah , tetap teguh hala tuju, sekalipun ada orang yang melakukan kesilapan, cuai dan keterlaluan, sebab ia bekerja hanya kerana Allah, bukan untuk dirinya. Bukan kerana si fulan atau individu tertentu di kalangan manusia.


7. Perjalanan yang jauh, lambatnya memperolehi hasil perjuangan, lambatnya memperolehi kejayaan, dan merasa penat kerana berhadapan dengan manusia yang memiliki pelbagai kerenah tidak menyebabkan ia menjadi malas, bertangguh dan ketinggalan. Ia bekerja bukan setakat memburu kejayaan atau untuk mencapai kemenangan semata-mata, bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan mematuhi perintahNya mengatasi segalanya.



8. Gembira dengan kemunculan orang yang serba cukup kelengkapan yang tampil dalam saf para petugas untuk menjulang panji-panji, atau memberi saham kepada tugas, memberi kesempatan kepada setiap orang yang berbakat dan berkebolehan untuk mengambil alih tempatnya tanpa menyekat atau menyempit peluangnya, atau marah kepadanya. Bahkan kita melihat orang yang ikhlas, apabila ia melihat orang yang lebih baik daripadanya dalam memikul beban tugas, ia akan menyerahkan kepadanya dengan rasa ketaatan dan gembira untuk berundur ke belakang.

Jadi, sentialah muhasabah diri kita, seeloknya sebelum malam menutup tirainya, sebelum mata kita melepaskan kelopaknya. Wallahua’lam.

Wednesday, December 1, 2010

paku di HATI..

Firman ALLAH:
"Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal,
tetapi brgsiapa memaafkan dan berbuat baik(kpd org yang berbuat jahat) maka pahalanya dari ALLAH.Sungguh DIA tidak menyukai org2 zalim"

"Jangan suka menyakiti hati orang lain dgn kata2 kita,"
nasihat seorg ibu kpd anaknya

"Saya tahu itu salah...ibu,tapi saya akan cepat minta maaf.Itu satu kelebihan juga bu..,"kilas si anak

"Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati org,anakku,"kata ibu itu lagi

"Saya rasa tidak.Selepas minta maaf,segala-galanya langsai bu.."
Si ibu berfikir.

Apakah cara untuk menyedarkan anaknya drpd sifat buruk ini..

"Kalau begitu,kamu ikut cadangan ibu ini.Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti"

Tanpa membantah anak itu setuju.

"Begini,setiap kali kamu menyakiti hati seseorang,kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini.Kemudian setelah kamu meminta maaf drpdnya,kamu cabut semula paku tersebut.."

"Baik ibu!"Beberapa bulan berlalu,mereka sama2 menghadap dinding tersebut.

"Lihat ibu,mana ada paku yang tinggal?"ujar si anak dgn bangga

"Semuanya telah dicabut.Memang ramai org yang saya sakiti hati mrk..
tapi semuanya saya dah minta maaf"

"Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan,tapi sedarkah kamu..?"

"Maksud ibu?"

"Cuba kamu tgk dinding ni.Semuanya sudah tebuk,calar dan berkematu.
Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti.Walaupun kamu sudahdimaafkan,tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka.Hati yang dilukai ada parutnya,anakku.."

Si anak merenung dinding yang sudah berlubang-lubang itu.
Sudah tidak indah lagi spt asalnya.
Begitukah hati2 org yg telah aku sakiti? ...

waalhua'lam....
semoga kite semua berusaha untuk jaga hati manusia..
HABLU MINALLAH WAHABLU MINANNAS..

kite kene usaha jaga hubungan dgn ALLAH dan hubungan sesama manusia..insyaALLAH..
dan BERFIKIRLAH SEBELUM BERKATA..
krn terlajak perahu blh berundur..terlajak kata...??
kerana mulut badan binasa....

k...wallhua'lam...segalanya hanya krn ALLAH..